Artikel

Memanfaatkan Teknologi Maklumat Dalam Pengajian Berteraskan Quran Dan Sunnah

Perkembangan pesat penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dipelopori oleh kerajaan telah melonjakkan perkembangan ilmu pengetahuan dikalangan masyarakat umum dan menjadi satu budaya yang diterima segenap lapisan masyarakat. Dengan pengenalan dan akses yang amat mudah seperti perkhidmatan jalur lebar, jaringan menggunakan wayar silikon dan sebagainya mempercepatkan lagi penyebaran maklumat dan pengetahuan. Lantaran itu, setiap agensi kerajaan samada yang menyediakan perkhidmatan ataupun pendidikan telah bergerak ke arah menyahut seruan ini termasuklah institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menawarkan pengajian berteraskan pendidikan Islam.

Pendidikan Islam mempunyai cabang pengajian yang pelbagai, antaranya ialah Pengajian Syariah, Dakwah, Pengajian Quran dan Sunnah, Muamalat dan Ekonomi Islam dan sebagainya. Sebahagian cabang pendidikan Islam ini belatar belakangkan kaedah pengajian tradisional iaitu dengan cara membaca atau bertalaqqi dengan guru yang mengajar, terutama sekali pengajian berkaitan Quran dan Sunnah. Dalam mendepani cabaran semasa dalam memanfaatkan teknologi maklumat sebagai alat penyebaran informasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM telah mengorak langkah dan mengatur strategi sejak dari awal penubuhannya. Pengenalan program pengajian dan kursus yang mengenengahkan penggunaan ICT dalam pengajian Quran dan Sunnah adalah di antara beberapa langkah yang telah dilaksanakan.

Program Sarjana Muda Pengajian Quran dengan Multimedia dan Program Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat ialah dua program yang ditawarkan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM untuk menggabungkan dua elemen penting dalam ilmu pengetahuan, iaitu elemen wahyu sebagai sumber pengetahuan dan elemen teknologi sebagai wasilah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan. Di samping itu juga, integrasi ilmu pengetahuan ini akan meletakkan Pengajian Islam seiring, bahkan lebih maju kehadapan berbanding ilmu pengetahuan lain kerana konsep pengajian integrasi ini ialah suatu konsep yang holistik, menggabungkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi setiap individu.

Bagi merealisasikan lagi hasrat ini, beberapa kursus yang memberikan fokus lebih mendalam dalam mengkaji cabaran, peluang dan ruang aplikasi ICT dalam pengajian Quran dan Sunnah telah diperkenalkan, antaranya ialah kursus Kajian Quran dan Hadis di Era ICT, kursus Aplikasi Braille Dalam Pengajian Quran dan Sunnah dan sebagainya. Kursus-kursus ini menjadi medan para pensyarah dan pelajar dalam meneroka kaedah-kaedah baru untuk membawa wahyu Quran dan Sunnah kepada masyarakat umum. Penggunaan aplikasi teknologi maklumat seperti laman sesawang, blog, perisian komputer dan media massa yang ada dikaji bagi memenuhi keperluan tuntutan menyebarkan wahyu Allah ini. Hasilnya, pelajar mampu untuk mencipta perisian yang telah mendapat pengiktirafan diperingkat kebangsaan seperti portal e-manuskrip yang memberi perhatian kepada kajian manuskrip melayu dan Islam, dan telah memenangi anugerah Social Impact Policy di National Research and Innovation Competition (NRIC) yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia, projek My Tarannum SLS (Smart Learning System), E-Guide Interactive Kiosk yang memenangi pingat emas danIqra’ Basic dan Dr Hadith Nature memenagi pingat Perak dalam Pertandingan Ekspo Inovasi Islam 2011 (i-INOVA) anjuran USIM.

Dengan lahirnya graduan yang berkebolehan ini, harapan tinggi yang telah diletakkan akan dapat dicapai dan direalisasikan, terutamanya dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang terkehadapan dan menjadi hub pendidikan tinggi serantau. Di samping itu, konsep Pengajian Quran dan Sunnah yang selama ini dianggap terkebelakang akan dapat membawa imej baru dan seterusnya mendapat tempat di hati setiap masyarkat Islam di dunia.

Disediakan Oleh,

MOHD YUSUF BIN ISMAIL

KETUA PROGRAM,

PENGAJIAN SUNNAH DENGAN PENGURUSAN MAKLUMAT,

FAKULTI PENGAJIAN QURAN DAN SUNNAH,

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA.

 Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6705/6706, Faks: +606-798 6709, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.