Artikel

Hadis Doa Untuk Kelahiran Anak

 

Oleh: A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadawi

Terdapat satu doa yang dikatakan berasal daripada Nabi s.a.w. yang sering diucapkan oleh sesetangah orang ketika mengucapkan tahniah ke atas kelahiran seseorang bayi. Doa tersebut adalah:

شكرت الواهب وبورك لك في الموهوب وبلغ أشده ورزقت بره

Ertinya: Kamu bersyukur kepada al-Wahib (Allah Maha Pemberi), kamu diberkati dengan al-Mauhub (anak yang diberikan), semoga dia mencapai usia dewasa dan kamu dikurniakan kebajikannya.

Dalam riwayat lain:

ورزقت بولده

Ertinya: semoga kamu dikurniakan anaknya (cucu)

Persoalannya adakah hadis ini shahih? Kerana hadis ini hanya diriwayatkan oleh beberapa orang ulama hadis sahaja, antaranya Imam Ibn Abi al-Dunya di dalam Kitab al-'Iyal, Qira al-Dhayif dan al-Nafaqah ‘ala al-'Iyal, Imam 'Ali bin Ja’d di dalam Musnadnya dan Ibn 'Asakir di dalam Tarikh Dimasyq. Ulama-ulama hadis lain tidak meriwayatkan hadis ini dalam kitab-kitab mereka. Jadi adakah hadis ini shahih?

Untuk mengetahui jawapannya, bahawa terdapat maklumat yang mengatakan semua riwayat hadis ini bersumber daripada seorang perawi yang bernama al-Haytham bin Jimar. Dia dianggap daif oleh kebayakkan ulama. Antara mereka adalah Yahya bin Ma’in, Ahmad bin Hanbal, an-Nasai dan al-Sa’di

Dengan terdapatnya perawi tersebut dalam sanad hadis itu ia sudah cukup untuk menghukum hadis tersebut sebagai daif. Maka status hadis ini adalah daif.

Adakah tidak boleh beramal dengannya?

Tidak semua hadis yang daif tidak boleh beramal dengannya dan tidak semua hadis yang daif boleh beramal dengannya.Terdapat beberapa syarat untuk beramal dengan hadis daif. Jika sesuatu hadis itu memenuhi syarat-syarat tersebut, ianya boleh diamalkan. Syarat-syarat tersebut adalah:

  • Kandungan hadis tersebut bukan perkara yang berkaitan aqidah atau hukum-hakam, tetapi ianya berkaitan dengan amalan sahaja. Atau dengan kata lain hanya dalam fadail ‘amal.
  • Sanad hadis sesuatu hadis itu tidak terlalu daif
  • Amalan tersebut mestilah terdapat asasnya dalam agama (bukan amalan 100% baru).
  • Hendaklah tidak beriktikad ketika beramal dengannya bahawa ia pasti daripada Rasulullah sallahu’alaihi wasallam, tetapi hendaklah beramal dengan niat berhati-hati. Maksudnya jika kita mengatakannya pasti, lalu perkara itu tidak benar maka kita berdosa. Tetapi jika kita berhati-hati yakni tidak menganggapnya pasti dan juga tidak meninggalkannya kerana masih menyangkakan ada kemungkinan ia daripada Nabi s.a.w. Maka jika benar, kita mendapat pahala. Dan jika tidak benar, kita mendapat pahala dengan amalan kebaikan umum.
  • Imam Ibn Hajar menambah satu syarat lagi iaitu: “Tidak menghebahkannya kepada orang ramai sehingga orang-orang yang jahil menyangka bahawa amalan tersebut adalah daripada hadis”.

Berkaitan hadis tadi walaupun ianya daif, ada ulama beramal dengannya kerana isi kandungannya yang indah, iaitu mendoakan keberkatan kepada orang lain dengan menambahkan kegembiraannya dan mengaitkannya dengan Tuhan Maha Pemberi. Tanpa beriktikad bahawa ianya pasti daripada Rasulullah sallahu’alaihi wasallam. Antara mereka yang menggalakkan beramal dengannya adalah Imam Nawawi dan al-Qahtani. Sila lihat kitab al-Azkar dan al-Hishn al-Muslim.

Tahniah kepada Dekan FPQS kerana mendapat cahaya mata baru pagi ini 26/1/2012.

 Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6705/6706, Faks: +606-798 6709, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.