BIM Ibadah: Menang pingat emas dan Anugerah Khas Ibnu Ummi Maktum Yayasan FAQEH

NILAI: Kekurangan terminologi Islam dalam bahasa isyarat menimbulkan kesedaran kepada pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk membangunkan bahasa isyarat baharu untuk keperluan Ibadah untuk orang kelainan upaya (OKU) Pekak Muslim.

Produk inovasi ini merupakan hasil daripada geran kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) yang diketuai oleh Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad. Pembangunan BIM Ibadah ini dibangunkan hasil garapan idea dan ilmu oleh profesional agamawan, gabungan badan pertubuhan OKU Pekak seperti Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA), Persatuan Orang Pekak Malaysia (PRISMA), Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM) dan Persatuan Orang Pekak Selangor (POPS) serta jurubahasa isyarat.

Produk ini juga sudah dilancarkan pada 3 Mac 2018 semperna Majlis Pra Pelancaran dan Aspresiasi yang bertempat di Lounge Eksekutif di Canselori USIM oleh Prof Madya Dr. Adnan bin Mohamed Yusoff.

Hasil demografi yang dijalankan BIM Ibadah didapati berkesan dan telah berjaya menarik minat orang pekak dan persatuan orang pekak kerana ia sangat membantu dalam mempelajari terminologi Ibadah yang tidak mempunyai bahasa isyarat sebelum ini dan secara tidak langsung menambah kosa kata terminologi agama dalam kehidupan seharian mereka.

Sempena Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA) 2018 yang telah berlangsung pada 10-11 Mac 2018, produk ini telah dipertandingkan dan berjaya meraih pingat emas dan juga dianugerahkan Anugerah Ibnu Ummi Maktum Yayasan FAQEH.

Puan Sariah Ibrahim, selaku Presiden Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) berkata walaupun pembangunan BIM Ibadah agak mencabar namun usaha ini merupakan usaha yang murni dalam membantu golongan OKU Pekak Muslim untuk memahami terminologi Islam dan mengharapkan usaha ini dapat diteruskan lagi dengan menerokai bidang agama yang lain. 

                 PENYELIDIK USIM dan NESDA  di ruang pameran BIM Ibadah sempena i-INOVA 18.

 Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6705/6706, Faks: +606-798 6709, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.