Sunnah dengan Pengurusan Maklumat

/Sunnah dengan Pengurusan Maklumat
Sunnah dengan Pengurusan Maklumat 2018-09-18T21:21:15+00:00

Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat Dengan Kepujian

Bagi memenuhi hasrat universiti yang ingin memartabatkan pendidikan Islam serta membawanya ke dalam arus perdana pendidikan negara, FPQS telah mengorak langkah dengan menawarkan beberapa program pengajian yang menggabungkan antara ilmu Quran dan Sunnah atau salah satu daripada kedua-duanya dengan ilmu-ilmu moden seperti multimedia dan pengurusan maklumat. Ia juga membantu hasrat kerajaan yang menginginkan agar program-program baharu yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) boleh melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing dalam pasaran kerjaya dalam dan luar negara. Graduan yang dilahirkan bukan sahaja mahir dalam bidang ilmu agama, malah turut mempunyai kemahiran moden yang berdaya saing.

Justeru, bermula sesi pengajian 2005/2006, dua program pengajian baharu telah ditawarkan, iaitu program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran Dengan Multimedia dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat dengan Kepujian.

Penubuhan Program Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat (SPM) khususnya, yang menggabungkan dua bidang ilmu iaitu ilmu Sunnah (ilmu Islam) dan ilmu Pengurusan Maklumat (ilmu moden) sebagai bidang kedua menjadikan ilmu Sunnah sebagai ilmu teras dan menjadikan bidang pengurusan maklumat, adalah nilai tambah kepada ilmu Sunnah tersebut. Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST) yang mana bidang sunnah diajar oleh pensyarah daripada FPQS dan bidang pengurusan maklumat diajar oleh para pensyarah daripada fakulti FST. Program ini meluaskan peluang pengajian pelajar-pelajar aliran agama di Malaysia khususnya bidang pengajian Sunnah.

OBJEKTIF PROGRAM

1. Menghasilkan graduan yang mempunyai kemahiran dalam kedua-dua bidang pengajian Sunnah dan pengurusan maklumat secara bersepadu antara aspek teori dan amali dan mampu untuk berkhidmat di organisasi-organisasi yang berteraskan pengetahuan dan pengurusan maklumat seperti perpustakaan dan sebagainya.

2. Tuntutan masyarakat terhadap graduan pengajian Islam yang dapat mengapplikasikan penggunaan teknologi moden dalam melaksanakan tugas mereka semakin meningkat. Tugas para graduan pengajian Islam pada masa kini tidak boleh lagi difahami dalam lingkungan pengajaran Islam secara sempit tetapi hendaklah difahami sebagai satu tugas profesional. Oleh itu, para graduan pengajian Islam hendaklah dibekalkan dengan pelbagai bentuk pengetahuan serta kemahiran teknologi terkini dalam bidang yang berkaitan seperti Pengurusan Maklumat untuk melayakkan mereka berkhidmat kepada institusi, masyarakat dan negara secara profesional dan beretika.

3. Memberikan nilai-nilai tambahan (added values) kepada para graduan bidang pengajian Islam tulen seperti pengajian Quran dan Sunnah supaya mereka dapat menghayati intipati pengajaran Quran dan Sunnah di samping berpeluang untuk bersaing dalam bidang pekerjaan semasa dan memasuki dunia teknologi berasaskan informasi dan maklumat. Ini penting untuk membetulkan persepsi masyarakat mengenai matlamat dan peranan graduan pengajian Islam dalam membangunkan negara.

4. Dengan penguasaan bidang-bidang teknologi terkini, pengajian Islam dan asas pengurusan akan membuka peluang kepada para graduan program ini untuk berdikari dalam bidang keusahawanan (entrepreneurship) yang berkaitan dengan pengurusan maklumat Islam apabila tamat pengajian mereka kelak.

5. Kebangkitan kesedaran Islam, peningkatan penghayatan Islam yang sederhana dan moden selaras dengan perkembangan semasa dalam negara memerlukan pengisian jawatan-jawatan berasaskan Islam dan Pengurusan Maklumat yang betul. Oleh itu, penawaran program ini diharap dapat membantu mengisi keperluan tersebut.

KOMPONEN PROGRAM

1. Untuk layak dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat (Dengan Kepujian) pelajar memerlukan sekurang-kurangnya 132 unit atau 4 tahun (8 semester) pengajian sepenuh masa. Pelajar juga dikehendaki mengikuti kursus mengikut keperluan, peraturan dan ketetapan yang dibuat oleh USIM dan Fakulti.

2. Struktur program ini umumnya, terbahagi kepada empat bahagian, iaitu komponen kursus Wajib Universiti (WU), komponen kursus Wajib Fakulti (WF), komponen kursus WajibProgram (WP) dan komponen kursus Elektif Program (EP). Perincian kepada komponen program ini akan bergantung kepada jenis program masing-masing.

3. Justifikasi komponen program: Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat (Dengan Kepujian) merupakan satu program yang merangkumi semua aspek pengajian Sunnah dan bidang yang berkait rapat dengan bidang pengajian Islam, teknologi pengurusan maklumat dan asas kaedah penyelidikan. Komponen program ini disusun dengan rapi dan teliti untuk memenuhi permintaan industri dan sektor awam yang amat mengharapkan graduan yang dilahirkan dari bidang ini dapat melaksanakan nilai–nilai Islam. Setiap program yang ditawarkan akan berteraskan kepada ajaran Islam sepenuhnya agar ianya dapat diterima oleh masyarakat selari dengan kehendak masyarakat Islam moden dan progresif. Diharapkan dengan cara itu setiap program yang ditawarkan akan dapat memberi sumbangan yang terbaik kepada masyarakat.

SYARAT KEMASUKAN

Calon-calon yang memohon mengikuti program ini hendaklah memenuhi syarat berikut:

1. Lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau peperiksaan lain yang setaraf dengannya, serta lulus dengan kepujian dalam Bahasa

Melayu/Bahasa Malaysia dan mendapat kepujian dalam sekurang-kurangnya lima mata pelajaran iaitu:

  • Bahasa Arab Tinggi
  • Matematik Biasa
  • Sains
  • Dua daripada mata pelajaran berikut:
  • Bahasa Arab Komunikasi
  • Pendidikan Islam
  • Tasawwur Islam
  • Pendidikan Syariah Islamiyyah
  • Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah

Serta lulus Bahasa Inggeris di peringkat tersebut: DAN

2. Memiliki mana-mana kelayakan berikut:

2.1 Memiliki STPM dan lulus penuh (sekurang-kurangnya Gred E) dalam mata pelajaran berikut:

  • Pengajian Am/Kertas Am
  • Bahasa Arab
  • Syariah/Usuluddin; ATAU

2.2 Memiliki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang baik, sekurang-kurangnya di peringkat Jayyid; ATAU

2.3 Mempunyai Diploma dalam bidang yang sesuai dengan kursus yang dipohon (Sertakan transkrip akademik daripada semester 1 hingga semester akhir); ATAU

2.4 Mempunyai kelulusan lain yang diiktiraf setaraf dengannya dan diperakukan oleh Senat Universiti, SERTA

3. Telah memenuhi keperluan MUET

4. Selain daripada kelayakan akademik, sikap positif, aktif, cemerlang dalam kepimpinan dan pengetahuan am adalah diberi keutamaan.